Portal Rasmi

Persatuan Pegawai Pertubuhan Keselamatan Sosial Malaysia

Majlis Persaraaan Encik Ismail bin Abi Hashim

Majlis Persaraaan Encik Ismail bin Abi Hashim

04 Julai 2025 – Grand Ballroom, Premiera Hotel Kuala Lumpur. 

Bertempat di Grand Ballroom, Premiera Hotel Kuala Lumpur,  dengan bertemakan “Denim & Diamond”, sebuah lagi sosok tubuh yang tidak asing buat seisi warga PERKESO dirai bagi menghargai setiap detik masa, tenaga, harta dan pengorbanan yang diberikan oleh figura penting ini hingga tamat perkhidmatan atas persaraan wajib beliau pada 2 Julai 2025 selaku Pengarah Negeri bagi Pejabat Negeri Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Dengan penuh rasa hormat dan takzim, seluruh warga Persatuan Pegawai Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERSIS) merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Encik Ismail Abi Hashim atas segala jasa, bakti dan sumbangan beliau sepanjang tempoh perkhidmatan dalam organisasi yang kita cintai bersama ini.

Seperti dititipkan di dalam tinta terakhirnya , “Organisasi ini bukan sekadar sangat mulia, namun memberikan kita nikmat dan rahmat yang tidak terhingga.” titipan tersebut cukup menggambarkan keikhlasan dan kecintaan beliau terhadap organisasi keramat ini.

Kami di PERSIS amat menghargai segala tunjuk ajar, bimbingan, serta semangat juang yang telah ditunjukkan beliau dalam memartabatkan organisasi dan membantu insan yang memerlukan. Segala kenangan bersama beliau akan terus kami semat dalam ingatan.

Kami percaya segala jasa dan kenangan bagi setiap sumbangan yang telah diberikan, jatuh bangun beliau bersama rakan-rakan seperjuangan di organisasi keramat ini akan sentiasa terpahat dan menjadi penyuluh buat generasi pelapis yang ada pada hari ini.

Terima kasih atas sikap keprihatinan yang sentiasa mengalir dan menjadi penyejuk duka kami takkala berhadapan dengan cabaran dan dugaan dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada setiap pemegang taruh yang ada. Sikap “Kepimpinan melalui teladan” ini akan terus kami bukukan di dalam sanubari kami.

Semoga Encik Ismail sentiasa dianugerahkan keafiatan, kebahagiaan dan keberkatan bersama keluarga dalam meneruskan kehidupan mendatang. Bagi pihak PERSIS, sekali lagi kami ucapkan jutaan terima kasih atas khidmat bakti yang telah dicurahkan.

Selamat menempuh alam persaraan dengan penuh ketenangan dan kebahagiaan. Semoga silaturahim ini tetap utuh walau di mana jua kita berada.

🌿 Terimalah dua rangkap pantun dari kami:

Teguh berdiri pohon yang lama,

Akar tunjangnya kukuh bersemi,

Jasa tuan tetap kami terima,

Menjadi panduan sepanjang hari.

Berlayar sampan di sungai sepi,

Singgah sebentar di pulau harapan,

Selamat bersara Encik yang dihormati,

Doa kami iringi penuh keikhlasan.

#selamatbersara #TerimaKasihEncikIsmail #WargaPERKESO

#persatuanpegawaiperkeso